Friday 22 April 2011

ANGKASA bakal miliki bank syariah sendiri Mei

KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) bakal memiliki bank sendiri yang beroperasi berlandaskan syariah selewat-lewatnya Mei ini dengan modal minimum RM300 juta.

Penubuhan Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KPSA) sudah diluluskan dan kini menunggu lesen untuk beroperasi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penubuhan KPSA dapat memberikan khidmat sesuai dengan perkembangan semasa koperasi yang menuntut lebih banyak usaha memajukan ekonomi ahli dan koperasi keseluruhannya.
Katanya, usaha itu wajar mendapat sokongan semua koperasi supaya KPSA dapat memberikan perkhidmatan terbaik dan memenuhi hasrat ahli.

“Penubuhan KPSA dapat memberikan sumbangan penuh makna kepada koperasi dalam memperkasakan ekonomi negara,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung permulaan KPSA, di sini semalam.

Katanya, produk kredit yang akan dibangunkan KPSA berlainan daripada produk ditawarkan bank komersial lain dan inisiatif ANGKASA menggalakkan koperasi menggunakan sistem pembiayaan kewangan mengikut prinsip syariah patut diberi pujian dan galakan.

“Ahli koperasi tidak sepatutnya curiga dengan penubuhan KPSA dan cara ia beroperasi nanti kerana ia akan diuruskan profesional,” katanya.
Sementara itu, Presiden ANGKASA, Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum, berkata setakat ini 290 daripada 8,000 koperasi di seluruh negara sudah menyertai KPSA dan berharap lebih banyak koperasi mengambil langkah sama.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...